Sunday, February 09, 2014

Sindiket Sedekah

Sedekah adalah salah satu amalan mulia yang perlu dilakukan oleh setiap Muslim di mana ianya akan menghasilkan faedah yang banyak kepada penerima dan pemberi sedekah. Kepada penerima, ia akan meringankan bebanan kesusahan, melapangkan kesempitan kehidupan dan melegakan kesabaran sementara. Kepada pemberi, ianya menambahkan pahala, menyucikan harta, meningkatkan perasaan pemurah dan mengembangkan pendapatan. Kepada ekonomi Negara, ianya akan menambahkan dan memperkembangkan ekonomi dengan peningkatan jumlah perbelanjaan keseluruhan rakyat dan akhirnya akan melahirkan kesatuan masyarakat yang peduli di mana yang senang akan peduli kepada yang susah dan sebaliknya.

Keimanan untuk bersedekah sering kali diuji apabila mereka yang tangan di bawah ini kehadapan dengan menghulurkan tabung-tabung mereka dengan mengharapkan hati-hati pemurah para tangan di atas. Ujian hati sering mendatang dengan terdetiknya ‘Betulker si dia ni meminta sedekah, dhaif sangatkah dia dan adakah si dia ini datangnya daripada golongan sindikit peminta sedekah?’. Detikan hati ini sering datang apabila si peminta kelihatan tidak sajak dengan apa yang diminta.

Pemberian sedekah kepada mereka yang memerlukan adalah amat-amat digalakkan berdasarkan unsur-unsur yang dibincangkan di atas. Namun, sekiranya pemberian tersebut adalah merupakan pendorong kepada sindikit pemerdagangan manusia yang akan bertugas sebagai agen-agen peminta sedekah sehinggakan mereka dari luar Negara sanggup masuk ke Negara ini dengan semata-mata untuk menjadi pengemis. Pada masa yang sama, aktiviti ini juga akan menjadikan pembuka kepada jenayah-jenayah lain yang tidak diingini. Sumbangan sedekah kepada golongan ini akan menjadikan jenayah ini lebih lancar dan lebih meriah. Bak teori ekonomi yang mengatakan ‘high demand will create high supply’ (kes sedekah ini, teorinya terbalik iaitu menjadi ‘high supply will create high demand’).

Antara bayangan-bayangan yang menggambarkan terdapat unsur-unsur sindiket peminta sedekah ialah:-
(a)           Penggunaan remaja dan kanak-kanak bawah umur sebagai peminta sedekah atas jenama Pusat Tahfiz dan sekolah pondok. Sepatutnya kanak-kanak dan remaja ini perlu berada di pusat pengajian dan bukannya di stesen-stesen minyak dan pasar-pasar pagi dan tani.

Andai mereka ini benar melakukan kutipan bagi pusat pengajian mereka, maka sepatutnya mekanisme kutipan adalah bukan berbentuk rayuan di stesen-stesen minyak kerana keselamatan mereka adalah lebih penting berbanding sedikit kutipan yang diperolehi.

Terfikirkah kita bahawa kanak-kanak dan remaja ini juga mempunyai ibu bapa yang mana semestinya akan memikirkan tentang keselamatan mereka andai mereka tahu yang anaknya bukan berada di institusi pembelajaran tetapi sebaliknya sedang merempat tanpa penjagaan keselamatan untuk mengutip derma bagi dana institusi yang diharapkan.

Mungkin ia nampak enteng andai kita tidak memberi sedikit penakulan yang lebih mendalam. Namun, ia akan nampak serius kerana bagaimana mudah seorang yang tidak bertanggungjawab ini mampu meletakkan MEREKA DI BAWAH umur untuk bekerja siang dan malam untuk menagih simpati sebagai sumber dana mereka. Mustahil mereka melaksanakannya secara sukarela dan tanpa pemantauan.

Andai kegiatan ini adalah berupa sindiket, di manakah mereka yang bertanggungjawab? Tidakkah kegiatan mereka ini begitu jelas dan tidakkah penyiasatan kasar senang untuk diperolehi?

(b)          Penggunaan orang yang bukan warganegara asal sebagai peminta sedekah.

(c)           Aktiviti minta sedekah yang berlaku secara berkala dan tetap seolah-olah meminta sedekah itu telah menjadi satu profession.

Ianya sungguh cantik andai tindakan yang tidak bermoral seperti aktiviti merompak tanpa sedar ini dapat dibanteras. Tambahan pula, aktiviti ini akan menyebabkan wujudnya persaingan yang tidak sihat di antara mereka yang betul-betul memerlukan dengan yang buat-buat memerlukan. Sungguh kesian kepada golongan dhaif ini di mana sampai ke periuk nasi mereka perginya si ‘kacau’ ini untuk menabur pasir. Sanggup berbohong dan menganiaya demi faedah sementara.

No comments: