Sunday, April 20, 2014

Bersungguh-sungguh

Asas di dalam sesuatu kerja adalah bersungguh-sungguh kerana pepatah arab berkata dengan maksudnya 'sesiapa yang bersungguh-sungguh maka dia berjaya'. Dengan kata lain, untuk berjaya seseorang itu hendaklah bersungguh-sungguh di dalam apa sahaja yang dilakukan. Bersungguh-sungguh bukan sahaja dapat dirasa oleh sipelakunya namun kesungguhannya akan dapat dilihat dan diperhati oleh mereka disekelilingnya atau yang melihatnya. 

Bayangkan seorang yang berusaha untuk mencabut akar pokok kelapa, dia semestinya berusaha dengan sedaya mungkin untuk mencabutnya. Segala tenaga dan kelengkapan akan dikerahkan untuk membolehkan akar tersebut dicabut dan ia tidak mungkin terjadi sekiranya usaha hanya dibuat secara sambil lewa dan tidak beria-ia. Akar tersebut tidak mungkin akan tercabut sekiranya dia melakukannya sambil melakukan kerja lain atau dengan mengerjakannya secara sambil lewa dan tidak fokus.

Sunnah kejadian jantung pada manusia turut menggambarkan tentang kepentingan kesungguhan di dalam melakukan sesuatu kerja. Jantung mula berdenyut seawal minggu ke empat (4) janin berada di dalam kandungan. Denyutan selaju 70 kali seminit atau 100 ribu kali sehari ini tidak akan berhenti sehinggalah si tuannya itu menamatkan kehidupannya. Jasad jantung yang seberat tidak melebihi 250 gram ini sungguh  komited dan bersungguh di dalam melakukan kerjanya untuk membolehkan si tuan meneruskan kehidupannya. Saiz adalah bukan penentu kebolehan dan pencapaian tetapi komitmen dan kesungguhan adalah unsur penting di dalam menentukan kejayaan dan penghasilan.

No comments: