Susah, payah, sakit dan perit adalah lumrah kehidupan. Ia sering berselih ganti di antara dua keadaan yang berbeza contohnya senang dan payah serta sakit dan sihat. Perkara-perkara yang tidak menyenangkan ini biasanya diambil negatif oleh seseorang dan natijahnya ialah menghasilkan keadaan yang semakin negatif dan semakin 'complicated'. Walau bagaimanapun, jika ia diambil dari sisi yang positif maka yang rumit akan dirungkai dan yang sulit akan dipermudahkan.
Kerumitan ini akan mengajar manusia untuk bertahan, sabar dan tabah di dalam menghadapinya kerana setiap kepayahan akan berakhir dan setiap kesakitan akan tamat. Walau bagaimanapun, ianya tidak datang secara automatik dan sendiri tetapi sebaliknya berhajat kepada latihan dan tunjuk ajar. Di sinilah datangnya peranan si ayah di dalam memperkasakan si kecil untuk bersedia bagi menghadapi detik-detik kerumitan di masa hadapan.
Ayah adalah simbul kekuatan dan ketabahan di dalam mengemudi bahtera kehidupan di mana ayah adalah panglima yang mengetuai ujian kehidupan, pahlawan yang mempertahankan maruah serta si pencari rezeki yang memegang amanah demi saraan seisi keluarga. Kerana ketabahan ayah inilah maka ia perlu diperturunkan dan diajarkan kepada si kecil agar mereka lebih bersedia di dalam menghadapi hari-hari mereka yang semestinya berlainan daripada hari-hari yang sedang ditempuhi oleh ayahnya. Pada masa yang sama, si ibu pula turut mengisi kantong pendidikan anak-anak dengan kelembutan, kasih sayang dan pengharapan. Kombinasi kekuatan, kelembutan dan ketabahan inilah yang akan menjadi pelengkap kepada pendidikan anak-anak yang mampu untuk melahirkan generasi yang tegas tetapi rahmah, yang agresif tetapi sabar dan yang mempunyai keazaman yang tinggi tetapi bertunjangkan aqidah yang satu serta berpaksikan pengharapan kepada Allah Azzawajalla.
Walaubagaimanapun, ia tidak bererti untuk meletakkan anak di dalam kepayahan dan menafikan segala kesenangan. Sebaliknya, anak perlu dididik dengan jalur tengah iaitu dengan tidak terlampau bermewah dan tidak terlampau ber'dhaif', tidak terlampau berlembut dan tidak terlampau berkeras serta tidak terlampau dimanjakan dan tidak terlampau dibiarkan. Jalan tengah adalah jalan yang terbaik yang mana ianya mampu mewujudkan insan yang kental tapi tidak keras serta pengasih tapi tidak cair. Insan jalan tengah inilah yang akan diharapkan sebagai insan pelapis yang akan mewarisi khazanah akhlaq, ilmu dan amal.
No comments:
Post a Comment