Monday, May 04, 2015

Bodoh Macam Lembu


"Marah mampu menukar tujuan mendidik tadi kepada perasaan benci dan geram. Seterusnya menghilangkan keikhlasan serta menerbitkan dendam dan buruk sangka." - Has 
Pada situasi yang berlainan, saya masih ingat peristiwa yang berlaku hampir dua puluh (20) tahun yang lalu iaitu ketika saya masih lagi di bangku sekolah. Saya berada di dalam kelas yang ke semuanya ialah pelajar lelaki. Kami agak aktif hinggakan kelas kami pernah dilabel sebagai kelas terbising di Malaysia. Oleh kerana masih naif maka kami tidak pernah bertanya tentang kesahihan gelaran tersebut.
Debat mulut, kejar mengejar, 'game empire', gelak ketawa dan banyak lagi aktiviti lain yang sememangnya menjadikan kelas kami begitu unik. Hinggakan kami merasa begitu rugi untuk tidak menghadiri diri ke sekolah walaupun satu hari. Keunikan ini juga menyebabkan tali silaturrahim kami sentiasa erat hingga kini walaupun telah puluhan tahun meninggalkan bangku sekolah.
Pada suatu hari dalam hari-hari yang unik, kelas kami begitu bising disebabkan guru yang mengajar tidak hadir pada hari tersebut. Beberapa kali dinding depan diketuk oleh jiran kelas untuk mengingatkan agar tidak bising dan mengganggu proses pembelajaran mereka. Namun ketukan tersebut tidak mampu untuk memberikan peringatan kerana tahap kebisingan kami melangkaui tahap bunyi ketukan tersebut.
Akibatnya, guru yang mengajar kelas tersebut muncul di depan kelas kami. Beliau sebelum ini terkenal dengan lemah lembut, sopan santun di dalam tutur kata serta lunak merdu di dalam berbahasa, kini kelihatan sungguh berlainan. Wajahnya merah padam, matanya tajam, mulutnya ketat, dan tubuhnya sedikit menggigil. Bahasa badanya sudah cukup untuk membuatkan kami faham bahawa amarahnya sudah berada pada tahap maksimum. Kami semua diam dengan jangkaan 'habislah kami kali ni'.
Marahnya tidak terhenti di situ, dia melangkah masuk ke dalam kelas dengan memberikan ucapan yang amat berbekas pada hati-hati kami hingga ke kini. Guru itu berkata "Apa nak jadi dengan kamu ni? Kenapa kamu tidak punya 'common sense'? bukankah di sekolah ni tempat untuk orang belajar? Kenapa kamu buat sekolah ni macam kandang lembu? KAMU SEMUA NI BODOH MACAM LEMBU.."
Kami terkedu dengan ayat terakhir yang terpancul dari mulut guru tersebut. Lebih terasa apabila diamati makna perkataan bodoh dan lembu yang disatukan. Kami amat terasa hinggakan ada di antara kami yang bernekad untuk membuktikan bahawa kami tidak bodoh. Namun, perasaan takut dan hormat yang masih kami miliki menyebabkan tiada seorang pun dikalangan kami yang bangun untuk melawan ataupun memberikan penjelasan. Kami akur bahawa kami silap.
Kenangan ini sungguh pahit kerana ia menyebabkan tercatat di dalam lembaran sejarah kehidupan saya tentang tanggapan dan gelaran hitam. Ia menyebabkan rekod murni sedikit terpalit dan menggoyahkan sedikit keyakinan.
Tidak salah untuk seorang guru memarahi anak murid sekiranya ia dibuat dengan tujuan mendidik. Namun, hendaklah dibuat dengan berhati-hati kerana marah itu menghampirkan kita kepada syaitan. Marah mampu menukar tujuan mendidik tadi kepada perasaan benci dan geram. Seterusnya menghilangkan keikhlasan serta menerbitkan dendam dan buruk sangka. Buruknya terkena bukan hanya kepada mangsa tetapi juga kepada pemarah.
Oleh kerana itu, para guru dan pendidik serta sekelian umat Islam, kita hendaklah sentiasa menjaga amarah agar bara tidak bertukar menjadi api yang bukan setakat mampu menghanguskan yang lain tetapi juga turut menghancurkan tuannya menjadi debu. Ambillah iktibar daripada hadith Rasulullah SAW yang berbunyi:-
Daripada Sulaiman bin Shurad (semoga Allah meridhainya) beliau berkata : ''aku pernah duduk bersama Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam ,sementara dua orang lelaki saling mencaci, salah satu dari keduanya memerah mukanya (karena marah ) dan naik darah, maka Rasulullah (SAW) berkata : ''sesungguhnya aku mengetahui satu kalimat, seandainya dia mengucapkannya niscaya akan hilang rasa marah yang ia dapati,seandainya ia mengucapkan :

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
''aku berlindung kepada Allah dari (bisikan)syaithan yang terkutuk''.
Niscaya akan hilang rasa marah yang ia dapati. Maka mereka (sahabat) berkata kepadanya :'' Sesungguhnya Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda : ''Mintalah perlindungan kepada Allah dari (bisikan ) syaithan yang terkutuk''.

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.

No comments: