Saturday, March 14, 2015

Mengajar adalah Memberi Bukan Untuk Menerima

Gagal menunaikan kewajipan adalah satu kesalahan dan dosa yang mengakibatkan balasan di dunia dan juga di akhirat kelak namun gagal untuk mencapai apa yang diharapkan adalah hanya satu kekurangan di dunia ini.

Ibubapa adalah merupakan guru pertama kepada anak-anak yang menjadi sumber rujukan dan contoh. Sebutan pertama yang didengari mereka adalah perkataan yang terkeluar daripada seorang ibu yang melahirkannya. Sungguhpun bayi masih belum mampu untuk memahami namun ia adalah langkah pertama yang akan membiasakan mereka dengan sesuatu suasana. 

Pepatah cina ada menyebut bahawa perjalanan yang beribu batu adalah bermula dengan langkah pertama. Ini bermaksud segala perkara yang kita lakukan adalah bergantung kepada permulaannya, tanpa ada permulaan maka tiadalah pertengahan dan penghujungnya. Permulaan yang baik adalah mentari fajar yang menjadi sinar kepada si makhluk untuk keluar berikhtiar dengan tujuan tersendiri. Mentari inilah semangat dan pembuka tirai kepada bermulanya satu-satu hari yang akan diusahakan. Bayangkan sekiranya pada suatu hari sesudah solat Subuh, kita menunggu-nunggu akan ketibaan matahari tetapi ia tidak muncul tiba. Kita terus menunggu namun ia tetap tidak menjelma. Apakah yang akan berlaku kepada diri kita sekiranya ia berlaku? Apakah kita tidak panik dan kaget? Adakah kita mengandaikan bahawa ia akan muncul jua dan hari akan cerah kembali? Adakah ia akan bermula sekiranya tiada sebarang tanda bahawa ia akan bermula?.

Begitulah pentingnya langkah pertama di dalam sesuatu perkara. Peranan ibubapa sebagai guru pertama adalah amat besar kerana pendidikan yang diberikan adalah bukan diharapkan dengan ganjaran. Seorang ibu yang menyusukan dan membesarkan anak adalah dibuat bukan kerana tanggapan bahawa bila besar nanti si anak akan membalas jasanya dan bukannya juga sebagai modal pencen.

Ada sebuah keluarga Myanmar yang masih belum mendapat status kerakyatan tetapi telah bermastautin di negara ini melebihi 15 tahun. Kegiatan ekonomi mereka ialah berniaga pakaian yang dibawa masuk daripada Thailand untuk dipasarkan di pasar-pasar malam dan kedai-kedai. Mereka sungguh gigih biarpun banyak kengkangan yang membantutkan usaha mereka. Mereka berniaga tanpa lesen kerana tidak memiliki dokumentasi yang sah. 

Walaubagaimanapun, mereka dengan sebaik mungkin berusaha untuk menyekolahkan anak-anak agar memperolehi keperluan pendidikan yang sempurna. Mereka percaya bahawa pendidikan adalah asas penting yang akan membentuk  kehidupan pada masa akan datang. Sungguhpun mereka sedar tanpa dokumentasi kerakyatan yang sempurna maka kehidupan ya adalah tidak ubah seperti pelarian haram yang tidak mempunyai masa depan di negara ini. 

Walaubagaimanapun, mereka tidak menyekat anak-anaknya daripada terus berusaha untuk maju dan berjaya di dalam pendidikan. Kelebihan yang ALLAH berikan adalah berbeza di antara seorang insan dengan insan yang lain. Anak-anak mereka dianugerahkan dengan aqal yang cerdas dan diri yang gigih di dalam menuntut ilmu. Kelebihan ini menjadikan mereka sungguh unik di mana pada pendaftarannya mereka ini tidak wujud namun saingan pembelajaran meletakkan mereka berada pada tangga teratas di dalam 'ranking' pengajian.

Ibubapa yang berbangsa Myanmar ini bersungguh-sungguh menyokong anak-anaknya ini untuk belajar sungguhpun secara realitinya dia lebih memerlukan mereka untuk membantunya di dalam urusan perniagaan yang memerlukan tenaga kerja yang ramai. Mereka menumpukan untuk lebih memberi berbanding menerima kerana mereka percaya memberi di dalam usaha ke arah ilmu adalah satu kebaikan sungguhpun kesan langsung daripada ilmu tersebut tidak dapat dilihat. 

Sungguhpun tiada jaminan bahawa mereka akan mendapat tempat di dalam institusi pengajian tinggi ataupun pekerjaan yang setimpal dengan kepandaian yang dimiliki, namun lapangan ilmu masih lagi didamba kerana mereka percaya bahawa ilmu itu sendiri adalah satu pemberian dan penerimaan. Pemberian agar yang tidak tahu menjadi tahu dan penerimaan yang membolehkan si hitam mempunyai nilai dan si senget tegak bermanfaat.

Di dalam pengembaraan ilmu, ibubapa dan keluarga Myanmar ini begitu bersungguh di dalam memberi sokongan. Tiada istilah sekatan dan larangan yang disebabkan oleh keterikatan kewangan yang menjadi penghalang kepada keluarganya untuk membenarkan mereka terus mengayuh dan memecut di dalam rihlah ilmu. Bagi mereka tanggungjawab anak-anak adalah berusaha untuk memperolehi ilmu dan tanggungjawab ibubapa pula adalah mencari rezeki yang membolehkan pengajian itu tidak terhalang. Mereka sanggup bersusah membanting tulang biarpun tiada jaminan bahawa apa yang dipelajari anaknya itu akan memberikan ganjaran dan faedah kepada mereka.

Begitulah suri teladan yang perlu dicontohi oleh kita sebagai ibubapa di dalam berusaha memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak. Bukan balasan yang dinantikan sungguhpun ada yang berpandangan bahawa anak-anak adalah pelaburan buat hari tua. Tiada kesalahan untuk mereka yang berharap namun berhati-hati kerana setiap harapan yang tidak tercapai akan membawa kepada kesedihan dan kehampaan. Walau bagaimanapun, berilah didikan dengan keikhlasan kerana ia adalah kewajipan yang diberikan Allah kepada kita untuk ditunaikan. Gagal menunaikan kewajipan adalah satu kesalahan dan dosa yang mengakibatkan balasan di dunia dan juga di akhirat kelak namun gagal untuk mencapai apa yang diharapkan adalah hanya satu kekurangan di dunia ini. Namun sekiranya redha dengan kekurangan ini maka dia akan diberikan ganjaran yang lebih besar dan tidak terhitung nilainya di dunia dan juga di akhirat kelak. 

No comments: