Sunday, July 05, 2015

Tidak terima kebaikan sehingga memberikan apa yang dikasihi



Masyarakat kita terkenal dengan sifat pemurah di dalam memberikan derma dan sadaqah. Kita biasa didatangi oleh mereka yang berhajat dengan bantuan ketika sedang menikmati hidangan di restoran dan kedai makan, ketika sedang mengisi petrol dan ketika menunggu lampu trafik bertukar dari merah ke hijau. Dalam banyak keadaan kita akan menghulurkan bantuan tersebut tanpa pertikai dan banyak soal. Begitulah sifat mulia orang kita yang diwarisi semenjak turun menurun dan perlu dikekalkan sehingga bila-bila.

Peringkat kedua selepas kemuliaan hati di dalam menderma dan bersedeqah ialah mem-beri dengan apa yang paling disayangi. Dengan kata lain, kita hendaklah memilih yang terbaik di dalam memberi kerana pada kebiasaannya kita akan memilih perkara terbaik sebagai perkara yang dikasihi. Di situlah hati ini akan diuji, jika ikhlas maka yang terbaik adalah pemberiannya, jika tidak maka sebaliknya lah yang terjadi.

Saya pernah menyertai satu misi pengumpulan dan pengagihan barangan bantuan yang akan dihantar kepada mangsa-mangsa bencana banjir besar yang telah berlaku di Kelantan pada awal tahun 2015. Peristiwa yang hampir melumpuhkan kehidupan rakyat di sana selama hampir dua (2) minggu telah menggerakkan hati-hati rakyat Malaysia untuk sama-sama membantu. Dalam masa kurang dua puluh empat (24) jam, maka banyak barangan yang berupa pakaian dan makanan telah terkumpul. Barangan yang dihantar bukan sahaja datangnya daripada syarikat-syarikat gergasi bahkan turut disumbang oleh orang perseorangan yang kaya mahupun miskin.

Namun, realiti hidup di dunia adalah bukannya semua permata adalah berlian dan bukannya semua kebaikan adalah baik. Di sana masih terselit kesilapan mungkin tidak disengajakan atau disengajakan yang menyebabkan keindahan kebaikan menjadi cacat. Dalam banyak-banyak pakaian yang didermakan, ada juga pakaian-pakaian yang telah rosak dan tidak boleh untuk digunakan lagi. Hingga membebankan para sukarelawan untuk memilih dan mengasingkan antara yang elok dan tidak. Seolah-olah inilah peluang terbaik untuk membuang secara 'terhormat' pakaian-pakaian yang tidak digunakan lagi.

Situasi inilah yang menggambarkan betapa indahnya Islam di dalam mendidik umatnya agar memberikan perkara yang disayangi. Begitulah jua peranan ibubapa di dalam 'mem-beri' kepada anak-anaknya. Kita hendaklah tidak kikir dan kedekut serta memberikan apa yang terbaik kepada anak-anak dengan keterbatasan kemampuan yang dimiliki.

No comments: