Sunday, July 19, 2015

Oh Kelantan ku...


Allah SAW maha perkasa di dalam merubah satu keadaan kepada keadaan yang lain. Kekuasaan dimiliki Allah yang mengatasi segala ciptaan dan keadaan. Tiada yang mustahil dan pelik bagi Allah kerana kekuasaanNya adalah kemuncak kepada segala kekuasaan.   Dialah yang mencipta, Dialah yang mengawal dan Dialah yang menamatkan sesuatu perkara.

Negeri ini pernah digelar sebagai tanah berkah, pernah juga dinamakan sebagai tanah ujian. Dinamakan berkah kerana ia pernah menjadi serambi ilmu agama dengan banyaknya pondok-pondok, ramainya alim ulama dan banyaknya majlis ilmu. Suburnya aktiviti ilmiah menjadikan negeri ni sejuk dengan keberkatan dan teduh dengan kerahmatan.

Dinamakan sebagai tanah ujian kerana ia sering diuji Allah dengan bencana banjir atau bah besar. Fenomena alam yang berlaku bukan kerana sumpahan sesiapa. Tetapi mungkin faktor manusia tamak yang menggondolkan hutan menyebabkan ekosistem menjadi tidak terancang dan menambah teruk keadaan banjir tahunan yang sering berlaku.

Dalam kedua-dua keadaan, ia menjadi sinonim dengan kehidupan orang di negeri ini yang menyebabkan rasa sayang mereka sentiasa melekat. Rasa untuk pulang sentiasa di benak hati bagi setiap yang merantau lebih-lebih lagi apabila ia berkaitan perayaan/acara besar atau bencana.

Satu negeri, satu bangsa, dua keadaan dan dua suasana pulang dengan dua keadaan yang berbeza-beza. Keadaan pertama pulang dengan gembira berjumpa sanak saudara untuk bersama-sama menyambut hari raya yang menghubung silatur rahim. Keadaan kedua pulang dengan hiba dan sayu berjumpa sanak saudara dengan tujuan memberi sokongan baik dengan wang ringgit, pakaian dan makanan.

Balik raya dengan wajah ceria, suka dan bahagia tetapi yang pulang kerana bencana dengan wajah cemas, tiada senyum kecuali rasa ihsan, sedih dan sayu. Kesemua ini berlaku dalam tempoh kurang dari satu (1) tahun. Bahagia dan sedih, senang dan susah.

Kedua-dua keadaan ini menggambarkan bagaimana kuasaNya Allah untuk memberikan rasa nikmat serta menguji dengan niqmah (ujian) kepada hambaNya. Ia membuktikan tentang bagaimana Allah Azzawajalla mampu merubah yang bahagia hingga terlupa segala derita dan yang derita sehingga terlupa segala bahagia.

Nabi s.a.w menceritakan kepada kita tentang kedahsyatan neraka dan kenikmatan syurga dalam sabdanya:
“Pada Hari Kiamat dibawa seorang penduduk dunia paling nikmat kehidupannya yang menjadi orang ahli neraka. Dia dicelup ke dalam neraka satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: “Wahai anak Adam, pernah engkau melihat kesenangan? Pernah engkau mendapat kenikmatan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!”. Lalu dibawa seorang penduduk dunia yang paling derita kehidupannya yang menjadi ahli syurga. Dia dicelup ke dalam syurga dengan satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: “Wahai anak Adam, pernahkah engkau melihat penderitaan? Pernahkah engkau mengalami kesusahan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!. Aku tidak pernah melihat penderitaan. Aku tidak pernah mengalami kesusahan”. (Riwayat Muslim).

Begitulah hebatnya Allah di dalam mengawal dan mengatur perasaan manusia. Meletakkan tabah pada kesukaran dan meletakkan bahagia pada kesukaan. Datangnya kesenangan hinggakan kesakitan dahulu boleh terhilang. Datangnya kesakitan hinggakan wujud ketabahan yang sebelumnya seakan-akan mustahil untuk muncul.

Dalam apa jua keadaan, kita hendaklah sentiasa bersyukur dan bersabar di atas segala yang dimiliki dan dihadapi. Baik di dalam kesenangan mahupun di dalam 

No comments: