Monday, July 13, 2015

Pergaduhan, Rusuhan dan Penipuan

Mengancam keamanan adalah satu jenayah tidak kiralah atas apa alasan sekalipun. Mungkin ada yang terlintas dengan tindakan ganas dan gagah maka kita akan nampak lebih hebat dan perkasa. Menyebabkan orang yang melihat menjadi gerun dan rasa tidak boleh main-main dan akibatnya ada yang merasa diri menjadi ternama dan dihormati.

Sudah banyak cerita orang gagah yang pernah kita dengar tetapi kebanyakkannya adalah sejarah semata-mata. Tidak ada satu pun yang kekal. Sejarah yang kadang-kadang dipandang mulia dan kekadang dikutuk dan dikeji.

Arwah ayah pernah bercerita tentang sikap seorang kawannya yang suka mencari gaduh. Kalau dia terpandang seseorang yang berperwatakan pongoh dan bengis, dia akan menghampiri orang tersebut dengan berkata "Kat sini, tak ada dah orang yang lebih hebat dari orang ni, misal tebal, tubuh tegap." Dia akan berkata dengan suara yang kuat agar orang lain turut mendengar dan menyebabkan si bengis tadi menjadi segan dan malu.

Tujuan kawan arwah ayah tadi adalah bagi mengaibkan orang yang bengis tadi agar menjadi lebih tunduk dan rendah diri. Namun dalam banyak kes, si bengis tidak memberi muka dan terjadilah pukul memukul dan tumbuk menumbuk. Ada ketika si bengis menang dan ada ketika dia kalah.

Dengan kata lain, kita mungkin kuat pada  hari ni tetapi belum tentu kita mempunyai kekuatan yang sama pada kemudian hari. Hari ini kita mungkin seorang pahlawan tetapi kemudian hari mungkin kita seorang mangsa. 

Begitulah aturan hidup yang secara sendirnya memberi pengajaran kepada kita agar tidak menjadi orang yang terlampau bengis dan bongkak dengan kekuatan diri, tidak kira atas dasar bangsa atau keturunan. 

Islam memberikan gambaran  jelas tentang ciri sebenar seorang insan yang perkasa. Insan yang mampu menggerunkan kawan dan lawan. Hadith  Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari berbunyi:

ليس الشديد بالصرعة؛ إنما الشديد الذي يملك نفسه عند الغضب
Ertinya: Bukan seorang yang kuat itu adalah seorang yang handal di dalam pergaduhan. Akan tetapi seorang yang kuat itu adalah yang dapat mengawal dirinya apabila dia marah. 



(1) Kegagahan diri adalah tidak terletak kepada kemahiran seseorang di dalam pergaduhan.
(2) Kegagahan diri adalah terletak kepada kekuatan dirinya di dalam menahan sabar ketika marah. 
(3) Dengan kesabaran maka sesuatu perbalahan itu tidak sempat tercetus kerana kepanasan marah telah dipadamkan oleh sabar.
(4) Jadi sekuat-kuat manusia ialah seorang insan yang paling tinggi nilai kesabarannya.



 

No comments: