“Kalian akan dipanggil di hari kiamat dengan nama kalian dan nama bapa kalian. Oleh kerana itu, pilihlah nama-nama yang indah untuk kalian.” (Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dari Abu Dardak).
Pada zahirnya seorang anak yang dilahirkan adalah kelihatan sungguh lemah dengan tidak berpakaian dan tidak memiliki. Kesemua keperluannya adalah dibekalkan oleh orang tua ataupun penjaganya. Dia hanya mampu untuk menangis bagi menyampaikan mesej tentang apa yang diperlukannya. Kerana itu, kita kekadang mula beranggapan bahawa hak anak itu adalah semata-mata terhad atas upaya kita.
Tanggapan ini amat salah kerana peranan ibubapa/penjaga adalah tidak lebih daripada sebagai pemegang amanah. Segala rezeki yang disampaikan ke mulut bayi baru dilahirkan adalah rezeki yang dimiliki oleh bayi itu. Tugas dan peranan kita adalah sebagai penyampai di mana kita adalah merupakan tangan yang mengambil daripada pemilik dan disalurkan kepada sasaran yang sepatutnya.
Keadaan ini menjadikan kita sedar dan akur di atas taklifan ini. Kesedaran bahawa diri ini adalah hamba kepada Allah SWT, Tuhan yang menganugerahkan anak sebagai rezeki kepada kita. Anugerah yang diberikan semata-mata atas kuasa Allah di mana ramai pasangan sihat yang secara zahirnya mampu untuk membiakkan zuriat, namun hasilnya adalah tidak sebagaimana dijangkakan.
Kesedaran yang menjadikan kita akur bahawa diri ini adalah hamba dan pemegang amanah semata-mata. Sebagai pemegang amanah maka semestinya perlaksanaannya dibuat sebagaimana diperintahkan.
Islam memerintahkan agar anak-anak dinamakan dengan nama-nama yang elok dan in-dah kerana mereka akan dipanggil dengan nama tersebut di sepanjang kehidupannya dan di akhirat kelak. Ini adalah sebagaimana hadith marfu’ (hadith yang sanadnya sampai kepada Rasulullah SAW) yang diriwayatkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana berikut:-
“Kalian akan dipanggil di hari kiamat dengan nama kalian dan nama bapa kalian. Oleh kerana itu, pilihlah nama-nama yang indah untuk kalian.” (Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dari Abu Dardak).
Saranan Islam ini adalah tepat kerana nama adalah wakil kepada diri seseorang ketika ada dan ketiadaan tuannya. Seseorang akan mengenalkan dirinya kepada orang lain dengan nama yang telah diberikan, baik ia berupa nama yang indah mahupun sebaliknya.
Nama yang baik akan memberikan keyakinan kepada pemiliknya untuk tampil kehadapan dan mara ke dalam masyarakat. Manakala nama yang bermasalah pula akan memberikan aib kepada pemiliknya terutama apabila ia mengetahui tentang keaiban tersebut.
No comments:
Post a Comment