Monday, December 07, 2015

Berhati-hati Dengan Tindakan Kita



“Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah da-ripada orang mukmin yang lemah, namun pada keduanya ada kebaikan...."

Sabda Rasulullah SAW, “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah da-ripada orang mukmin yang lemah, namun pada keduanya ada kebaikan. Bersemangatlah untuk meraih apa yang bermanfaat bagimu, mintalah pertolongan kepada Allah, dan jangan bersikap lemah. Apabila sesuatu menimpamu janganlah berkata, “seandaianya dahulu aku berbuat demikian nescaya akan begini dan begitu.” Akan tetapi katakanlah, “itulah ketetapan Allah dan terserah Allah apa yang dia inginkan maka tentu Dia kerjakan.” Kerana ucapan ‘seandainya’ itu akan membuka celah perbuatan syaitan. (HR Muslim).

Hadith di atas menyarankan agar setiap Mukmin bertindak berdasarkan saranan agama di mana setiap tindak tanduk sentiasa dihubungkait dengan Allah  Azzawajalla. Saranan ini menjadikan Muslim memilih untuk menjadi kuat berbanding lemah, namun ia bukan meremehkan dan merendahkan mereka yang lemah. 

Hadith di atas juga menerangkan bahawa golongan lemah bukan dikira sebagai golongan terhina bahkan ia juga memiliki kebaikan. Sebaik-baik di antara kedua-dua golongan ini ialah mereka yang berhati-hati di dalam menjaga agama dengan bersungguh-sungguh sentiasa bermunajat kepada Allah Azzawajalla dan bersungguh-sungguh di dalam melakukan sesuatu usaha. Seorang Muslim yang lemah tidak boleh melayan kelemahannya tetapi dia perlu berusaha untuk menjadi kuat.

Begitulah sepatutnya berlaku kepada seorang lelaki sungguhpun jiwa dalamannya mempunyai sifat kewanitaan. Dia tidak harus membiarkan dirinya mempunyai konfliks identiti tetapi sebaliknya dia perlu jelas tentang kekuatan dirinya sebagai seorang lelaki. Dia tidak boleh melayan dirinya sebagai seorang wanita sedangkan fizikal dan jantinanya adalah jelas seorang lelaki. Dia tidak boleh melemahkan kejantanannya dengan memakai pakaian wanita, bersolek gaya wanita, dan bercakap dengan intonasi serta nada seorang wanita. Sebaliknya dia perlu menjantankan dirinya dengan menjadi lebih sasa dan perkasa. Manakala kelembutan dan ketelitian hati digunakan bagi menghasilkan kerja yang lebih teliti. 

Bagi diri kita yang kuat mahupun lemah, kita tidak boleh berpatah hati dengan apa yang berlaku dengan anggapan sesuatu keburukan itu tidak akan berlaku sekiranya kita tidak melakukan demikian sebaliknya kita hendaklah yakin bahawa apa yang berlaku kepada kita adalah yang terbaik berdasarkan kehendak dan ketentuan Ilahi. Walaubagaimanapun, ini bukanlah lesen bagi kita untuk melakukan maksiat dan kejahatan dengan alasan ia hanya berlaku di atas suratan dan takdir Ilahi. 

Islam menghendaki kita menjadi kuat, bersungguh dan berhati-hati. Kuat di dalam melakukan yang terbaik, bersungguh-sungguh dengan usaha dan berhati-hati di dalam setiap tindakan. Berhati-hati untuk mengelakkan diri daripada terjatuh ke dalam lembah dosa dan kesyirikkan.

No comments: