Pernah suatu hari kami sekeluarga keluar berkelah ke sebuah air terjun terletak di hujung perkampungan. Bersama-sama kami ialah kawan-kawan sekerja yang merupakan penduduk setempat dan cukup arif dengan kawasan tersebut. Ini adalah merupakan ‘outing’ pertama kami sekeluarga setelah berpindah ke sini. Berbekalkan ikan dan ayam siap diperap serta beberapa makanan lain kami bersedia untuk berkelah.
Sesampai saja di kawasan perkelahan, kami menapak ke arah kawasan lapang mempunyai tanah sedikit landai dan berhampiran dengan ‘gigi’ air. Tidak jauh dari kami terdapat sebuah keluarga sedang mandi manda. Kami dapati mereka telah sampai lebih awal memandangkan bekalan sudah dijamah dan sekarang sedang bermandi manda.
Sedang enak bermandi manda tiba-tiba si isteri menjerit, ‘Tolong! Tolong!’ Lantas mata kami terus terarah ke sebuah jasad yang sedang tenggelam timbul tidak jauh daripada kedudukan si suami. Sepantas kilat si suami menarik rambut si anak hampir lemas dengan terus menepuk belakangnya bagi mengeluarkan air yang tertelan.
Sebaik sahaja anak itu agak pulih terus si ayah mengangkat anaknya dan dihempaskan ke atas pasir dengan dimarahi dan tengkingan agak kuat. Anak itu tergamam ketakutan dengan bertambah tangisan kesan daripada sakit lemas dan sakit dihempas. Kemarahan ayahnya itu seolah-olah tidak dapat dibendung melainkan diluahkan sahaja di situ secara serta merta. Seolah-olah lebih baik anak itu untuk tenggelam sahaja tanpa diselamatkan.
Ada benar bahawa mengajar anak adalah tidak cukup dengan sekadar nasihat dan berlemah lembut. Ada kala perlu disertakan dengan teguran dan ketegasan. Namun herdikan adalah bukan sebahagian daripada ketegasan. Ia hanya cukup untuk menjadikan si anak takut dan kecut. Jarang sekali teguran di dalam herdikan itu akan terlekat di hati kerana pintunya telah tertutup ibarat daun semalu yang telah disentuh dan terkatup. Sukar untuknya terbuka meskipun ia dipaksa.
Mendidik adalah bukan dengan mengherdik kerana herdikan adalah petanda kebencian. Ia menampakkan menyampahnya seseorang untuk menyampaikan ilmu sungguhpun ia adalah satu tanggungjawab untuk memberi tahu dengan mahu dan bukannya kena mahu dan kena tahu. Tugas kita adalah menyampaikan dan Allah jualah yang Maha Memberi.
No comments:
Post a Comment