Nik
Abdul Aziz Nik Mat (2014) menyatakan bahawa apa yang dilakukan oleh anggota
badan manusia adalah refleksi daripada pendidikan yang dimasukkan ke dalam diri
manusia seperti sebiji gelas yang dimasukkan dengan air. Kalau gelas itu
tumpah, yang tumpah keluar daripada gelas itu adalah air. Kalau dalam gelas itu
pasir, maka yang tumpah keluar adalah pasir juga. Kalau ada objek lain di dalam
gelas itu, maka yang tumpah keluar adalah objek itulah.
Diri
anak-anak adalah bekas yang akan menempatkan pengisian yang berupa ilmu dan
pendidikan oleh ibubapa mereka. Pengisian yang elok akan membawakan natijah
yang sempurna kepada diri anak-anak dan sebaliknya.
Sungguhpun
tugas ibubapa adalah untuk mendidik namun mereka juga mempunyai pengetahuan
yang terhad dan maklumat yang terbatas. Oleh sebab itu, tidak menjadi aib bagi
seseorang ibu atau bapa untuk mengatakan tidak tahu pada sesuatu perkara.
Bahkan jawapan tersebut adalah lebih amanah berbanding dengan mereka-reka
jawapan yang muncul tanpa disandarkan kepada maklumat dan fakta yang benar.
Walau
bagaimanapun, jawapan ‘tidak tahu’ tersebut tidak boleh menjadi teras tunggal
kepada persoalan yang ditanyakan oleh anak-anak dan dibiarkan tanpa jawapan
yang sepatutnya. Oleh sebab itu, menjadi tanggungjawab kepada ibu bapa untuk
mendapatkan jawapan yang sebenar berdasarkan fakta-fakta yang tepat dan betul.
Terdapat
beberapa kategori ibubapa di dalam normal kehidupan ini iaitu:
(1) Mereka yang
mempunyai ilmu dan mengajar anak-anaknya dengan ilmu tersebut
(2) Mereka yang
punya ilmu tetapi tidak berkongsi dengan anak-anaknya (disebabkan kesibukan
kerja dan lain-lain),
(3) Mereka yang
tidak atau kurang mempunyai ilmu tetapi ingin berkongsi dengan anak-anak
(4) Mereka yang
tidak punya ilmu dan tidak berminat untuk berkongsi dengan anak-anak.
Kepelbagaian
kategori ibubapa ini menghasilkan kaedah yang pelbagai serta hasil yang berbeza
di dalam pendidikan si kecil. Di sini ilmu memainkan peranan yang penting dan
kerana itu menjadi tanggungjawab kepada ibubapa untuk berilmu dan berusaha
untuk mendapatkan ilmu.
Menjadi
ibubapa adalah bukan semata-mata bersifat organik (terjadi dengan sendiri)
tetapi ia perlu dibuat dengan persediaan dan perancangan yang bukan terikat
kepada wang ringgit semata-mata tetapi turut terpaut kepada persediaan ilmu
agama dan kekeluargaan Islam.
Ini
kerana keluarga yang akan diwujudkan adalah keluarga yang akan melahirkan anak
yang akan membesar pada zaman mereka. Zaman di mana keadaan dan cabaran adalah
berbeza daripada zaman ini. Dikatakan Saidina Ali R.A. berkata:
"Ajarilah anak-anakmu tentang apa
yang bukan kamu ketahui kerana mereka dicipta bukan untuk zamanmu"
Walaubagaimanapun,
ilmu agama adalah asas yang akan dipasakkan ke dalam hati-hati pelapis yang
mana ia akan menjadi pembentuk kepada perubahan dan pemangkin kukuh daripada
diubah.
Sungguhpun,
zaman mereka adalah berlainan tetapi teras agama adalah sama dan ia akan kekal
hingga ke penamat dunia. Kerana
itu, ibubapa adalah bertanggungjawab untuk berilmu dan mencari ilmu agar apa
yang diisi ke dalam gelas kelak adalah bukan racun tetapi ia adalah madu dan
ubat yang berguna.
#KEWAJIPANMENDIDIKSEBAGAIIBUBAPA
#KEWAJIPANMENDIDIKSEBAGAIIBUBAPA
No comments:
Post a Comment