Friday, May 02, 2014

Hudud Telah Berjaya...



Pada mutakhir ini, isu hudud kembali mendapat tempat bagi perbincangan pada setiap lapisan masyarakat. Pada kebiasaannya, bila hudud disebut dan diperbicarakan maka ketahuilah kita bahawa piliharaya sudah semakin hampir atau lapangan-lapangan politik sudah mula dipanaskan. Yang luar biasanya pada kali ini ialah ianya didendangkan bukan menandakan pilihanraya hampir berlaku dan bukan jua dipermainkan oleh 'player-player' politik semata-mata. Pada kali ini, dapatlah diperkatakan bahawa momentum hudud sudah tidak lagi seperti dulu, jika dulu hudud hampir boleh diperkatakan sebagai 'political tools' sesebuah parti untuk memenangi pilihanraya tapi pada kali ini ianya sudah ada momentum yang telah berjaya menarik kawan dan lawan untuk bersetuju agar duduk semeja untuk memikirkan, melakarkan, menganalisa dan meneliti tentang apa, bagaimana, siapa, bila dan di mana hukum ini perlu bermula dan dilaksanakan. 

Satu kredit boleh diberikan kepada mereka yang bertahun-tahun berusaha untuk mengetengahkan hukum ini untuk diperlaksanakan. Semoga Allah Azzawajalla, Tuhan yang Maha Mengetahui perkara yang zahir dan tersembunyi memberi ganjaran yang setimpal di atas jerih usaha mereka itu. Usaha mereka sungguhpun tidak sempurna namun ianya telah berjaya menggerakkan momentum di dalam memberikan kefahaman UMUM tentang kepentingan dan kewajipan hukum ini untuk dilaksanakan. Sebagai bukti kejayaan ini ialah, jika dulu lawan tidak bersetuju dan tidak bersedia untuk berbincang tapi kini lawan sudah mula menghamparkan tikar perbincangan agar ianya boleh duduk semeja dan mengkaji secara bersama tentang hukum ini. Syabas diucapkan.

Namun, bila ada yang telah membuka peluang untuk perbincangan janganlah pula ada timbul persepsi tentang persoalan keikhlasan. Persoalan tentang apakah tujuan PELUANG PERBINCANGAN ini, adakah ianya berkaitan isu 'relevensasi' atau adakah mereka betul-betul insaf dan sedar? Saya menganggarkan isu KEIKHLASAN ini perlu diserahkan kepada Allah Azzawajalla tanpa diletakkan apa-apa persepsi tentang kenapa dan mengapa. 

Apa yang perlu dilaksanakan sekarang ialah bagi setiap anggota Muslim Malaysia adalah untuk berusaha memahami apakah HUDUD itu? apakah pensyariatannya? apakah tujuan perlaksanaan dan pensyariatannya? Mendalami HUDUD ini bukan bermaksud untuk semua insan berusaha untuk menjadi ustaz dan ustazah tetapi mendalaminya agar menjadi lebih tahu dan lebih faham. Bagi mereka yang telah mengetahui maka kongsikanlah agar yang lain juga turut faham. 

Ilmu HUDUD tidak cukup sekadar PERSEPSI semata-mata kerana persepsi adalah tidak didasarkan kepada fakta dan ilmu. Persepsi mungkin berguna untuk menghasilkan momentum tetapi momentum tanpa disertakan tindakan susulan maka ianya akan terhenti. Contohnya tentang pemahaman skop jenayah di bawah perundangan HUDUD, mungkin ada yang memikirkan jenayah dadah akan selesai dengan perlaksanaan HUDUD sedangkan dadah tidak termasuk di dalam skop hukum tersebut. Oleh kerana itu, ilmu mengenainya perlu diperdalamkan.

Andai kata gugurnya kita sebelum hukum ini terlaksana, dan kita telah berusaha di atas keupayaan diri masing-masing untuk melaksanakannya, maka semoga Allah azzawajalla mengampuni dosa kita di atas kelemahan dan kesilapan dan mengganjarkan kita di atas setiap sumbangan dan usaha yang telah dilakukan. 

No comments: