Manusia ini terhad dari sudut aqal, nafsu, fizikal dan naluri. Terhad kerana kekuasaan utama manusia adalah tidak terletak pada dirinya tetapi bergantung kepada kekuasaan mutlak Allah azzawajalla. Namun apa yang berlaku ialah nafsu sering mengalahkan aqal dan naluri sering mengepalai fizikal. Akibatnya, khabar sering mengalahkan berita dan cerita sering menggoyangkan fakta. Dengan kata lain, manusia sering dibelenggu oleh persepsi dalam membuat penilaian hinggakan yang baik sering disangkakan buruk semata-mata kerana terpengaruh kepada berita dan khabar angin yang kebanyakkannya berasaskan andaian dan jangkaan.
Bahayanya untuk bersikap sedemikian kerana seseorang itu boleh berlaku zalim dan tidak adil disebabkan keputusan yang dibuat adalah bukan berdasarkan fakta yang betul. Adilkah seorang ayah untuk memarahi si anak yang baru pulang dari sekolah semata-mata kerana anaknya pulang awal. Disangkanya si anak memonteng dan lari dari sekolah. Adilkah untuk si bapa itu memarahi anaknya tanpa ditanya dan didapatkan penjelasan yang sebenarnya. Alangkah lebih baik bagi si ayah untuk dapatkan 'tabayyun'/penjelasan sebelum dimarahi.
Perbezaan antara andaian dan fakta adalah sedikit sahaja iaitu fakta berdasarkan hujjah dan bukti manakala andaian berdasarkan jangkaan dan pandangan. Seseorang yang berlandaskan fakta adalah bertindak dengan hikmah dan bijaksana manakala seseorang yang berandaian adalah lemah dan tidak berkualiti. Andaian mungkin boleh jadi betul dan mungkin juga jadi salah tetapi fakta akan sentiasa betul dan tepat. Andaian sering terikut kepada apa yang ingin diandaikan oleh seseorang itu tetapi fakta terikat kepada apa yang sebenar berlaku.
Andaian atau persepsi ini sering berlaku sebagai kesan kepada beberapa perkara seperti pengalaman lepas dan cerita yang didengari. Ia mungkin berguna untuk diambil iktibar namun untuk dihitung sebagai elemen penting bagi satu-satu keputusan, ianya amatlah tidak berasas.
Sebagai kaedah dan jalan untuk mengambil 'hazar'/berhati-hati di dalam perkara ini, maka seseorang itu hendaklah berusaha untuk menyingkap segala persepsi, mengurangkan segala andaian, bersungguh-sungguh di dalam mendapatkan fakta dan bertutur hanya dengan hujjah yang tepat serta jelas.
No comments:
Post a Comment