Seorang bapa bertanggungjawab untuk membekalkan materialis yang mencukupi kepada ahli keluarganya. Dalam aspek ini, tanggungjawab bapa bolehlah dibahagikan kepada empat (4) peringkat iaitu mencari, mendapatkan, mengagihkan serta membekalkan rezeki. Di dalam keempat-empat peringkat ini, seorang bapa mestilah meletakkan batasan ‘wasati/moderate’ sebagai asasnya di mana ia memerlukan tapisan pembaziran, takkabur, kufur, boros, dan haram. Mana-mana kendalian rezeki yang melepasi tapisan ini adalah digambarkan sebagai pendapatan yang di dalam lingkungan pendapatan wasati/moderate. Kendalian sebegini adalah merupakan pengasingan di antara halal, haram, baik dan buruk.
Peringkat pertama di dalam tanggungjawab materialis ialah untuk mencari sumber pendapatan yang halalan toyyiban (halal lagi baik). Seorang bapa hendaklah mencari dengan sebaik mungkin serta dengan penuh tanggungjawab punca pendapatan yang halal. Carian yang dibuat hendaklah dengan menolak secara keseluruhan segala punca yang haram seperti rumah-rumah judi, restoran-restoran yang menjual arak dan minuman alkohol, rumah-rumah pelacuran, bank-bank berasaskan riba atau mana-mana institusi yang jelas keharamannya. Asas halal dan haram sesuatu organisasi bolehlah dirujuk dengan melihat latar operasi serta ‘core activity’ organisasi tersebut.
Peringkat kedua pula ialah untuk mendapatkan sumber pendapatan yang halalan toyyiban. Ia mungkin senang untuk mencari apakah sumber yabg halal tetapi untuk mendapatkannya seseorang itu memerlukan kepakaran dan kebolehan. Seorang bapa yang bertanggungjawab hendaklah melengkapkan dirinya dengan apa sahaja kepakaran atau kebolehan yang akan menjadikannya unik dan terbaik. Keunikan yang dibina tidak kira di dalam bidang apapun akan melahirkan penawaran di mana si bapa mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik dan penghasilan yang cemerlang. Pendapatan yang dihasilkan adalah hasil tutik peluhnya yang bersungguh pada sumber yang halalan toyyiban yang sudah pastinya dengan perkhidmatan yang cemerlang. Perkhidmatan yang cemerlang ini bukan sahaja terbaik untuk diri dan keluargan, namun ia turut memberi kesan yang positif kepada masyarakat dan khalayak yang mendapat manfaat daripada hasil kerja si bapa tadi.
Peringkat ketiga dan keempat pula ialah mengagihkan dan membekalkan rezeki yang diperolehi tadi dengan kaedah yang selari dengan kehendak Islam. Islam menggariskan agar setiap insan berbelanja pada jalan Allah yang mana ianya akan memberikan manfaat kepada diri dan masyarakat. Berbelanja pada jalan Allah termasuk di dalam perkara 'ibahah' iaitu keharusan di mana setiap insan adalah diharuskan untuk berbelanja di dalam apa jua perkara selama mana ianya tidak termasuk di dalam perkara haram atau yang menghampirinya. Contohnya, seorang ayah adalah harus untuk membelanjakan hartanya pada jalan pendidikan. Namun, ianya adalah haram bagi si bapa untuk membelanjakan hartanya bagi membolehkan si anak mempelajari ilmu sihir dan tahyul sungguhpun ilmu itu belum lagi dipergunakan atau diamalkan.
Islam menggalakkan umatnya untuk berbelanja di mana ia dapat menggalakkan perkembangan ekonomi. Kalimah-kalimah 'infaq' atau berbelanja yang termaktub di dalam Al-Quran yang diserangkaikan dengan 'fi sabilillah' yang bermaksud 'pada jalan Allah' adalah cukup untuk menggambarkan tentang galakkan untuk berbelanja dan ianya hendaklah dilakukan semata-mata kerana Allah Azzawajalla.
Sistem ekonomi moden turut mengesahkan bahawa penjanaan ekonomi sesuatu negara atau lokasi adalah bergantung kepada jumlah perbelanjaan yang dilakukan oleh masyarakatnya. Andaikata sesuatu masyarakat tidak berbelanja bahkan menyimpan harta yang dimiliki secara kikir dan kedekut, maka putaran ekonomi akan menjadi lembap dan perlahan serta tidak berkembang. Islam mengenakan zakat di atas harta yang tersimpan yang telah melebihi had ( haul dan nisab @ hitung masa dan hitung sukatan) yang secara tersiratnya bermaksud harta yang tersimpan akan didenda dan tidak pada harta yang dibelanjakan.
Keutamaan seringkali menjadi penentu di dalam memilih jenis perbelanjaan yang akan dilakukan. Ia bakal membantu sibapa di dalam menentukan keutamaan di dalam berbelanja. Konsep dharuriyat, hajiyat dan tahsinayat boleh digunakan sebagai kayu ukur di dalam menentukan keutamaan di dalam berbelanja. Perbelanjaan ke atas perkara-perkara asas atau dharuriyat seperti pakaian asas, penginapan asas, keselamatan dan makanan asas perlu diutamakan. Setelah keperluan ini disempurnakan maka kategori kedua iaitu hajiyat boleh disempurnakan. Hajiyat adalah perkara-perkara yang diperlukan yang di mana tanpanya kehidupan masih lagi boleh diteruskan contonya telefon dan kenderaan. Setelah kedua-dua keperluan ini selesai maka barulah sibapa boleh untuk memperuntukkan perbelanjaan pada perkara-perkara tahsiniyat seperti kereta yang selesa, rumah yang nyaman dan pakaian yang memuaskan. Namun, di dalam setiap peringkat perbelanjaan, seorang bapa hendaklah berhati-hati dan berjaga-jaga bagi mengelakkan berlakunya pembaziran yang dimurkai Allah.
No comments:
Post a Comment