Tuesday, January 06, 2015

Membantu ke arah Kebaikan dan Tidak Membantu Bahkan Mencegah Perkara Kemungkaran


Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Maidah, ayat 2 dengan maksudnya:-

"...Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

Ibnu Kathir menerangkan bahawa ayat ini menjelaskan tentang suruhan Allah Azzawajalla kepada orang mukmin untuk saling bantu membantu untuk melakukan perkara-perkara yang baik dan bertakwa kepada Allah dengan menjauhkan segala perkara yang dilarang, munkar dan berdosa. 
Daripada ayat dan terjemahan di atas dapatlah kita fahami bahawa usaha bantu membantu hanya boleh dilakukan kepada perkara yang halal dan dibenarkan agama semata-mata. Tetapi dia akan turut berdosa dan bersalah sekiranya bantuan yang diberi adalah berupa sokong kepada kejahatan dan kemungkaran.

Kita dapat melihat bagaimana seorang pengedar dadah yang dijatuhkan hukuman bunuh walaupun dirinya sendiri adalah bukannya seorang penagih. Kita tahu bahawa dadah adalah ancaman bahaya kepada masyarakat yang menjadikan sipenagih seperti mayat bergerak, berpenyakit dan perlukan rawatan. Andai gagal dirawat, sipenagih tadi mungkin akan terjebak ke dalam jenayah curi dan ragut.
Kita semua tahu bahawa kemuncak bahaya dadah adalah kepada penagihnya. Tetapi hukuman berat yang dikenakan adalah bukan kepada penagih tetapi kepada pengedarnya dengan balasan yang boleh membawa kepada hukuman gantung sehingga mati secara mandatori. Hukuman sebegini berat dikenakan kerana dengan adanya pengedarlah maka membolehkan sipenagih menjalankan aktivitinya. 

Sokongan yang diberikan pengedar sungguhpun atas tujuan membantu adalah berbahaya kerana apa yang dilakukannya adalah menyokong kepada kemungkaran. Lebih-lebih lagi apabila yang dilakukannya adalah dengan tujuan untuk mendapatkan pendapatan dan keuntungan semata-mata.

Begitu juga dengan sokongan-sokongan lain yang mana baik buruk sesuatu perkara tersebut masih lagi menjadi kesamaran kepada kita. Contohnya konsert-konsert hiburan yang sering dianjurkan oleh pelbagai pihak. Andai kita turut serta menghadiri konsert tersebut tidak kiralah sama ada berbayar ataupun percuma maka kita dikira sebagai penyokong. Ketahuilah bahawa konsert tersebut tidak akan berjaya andai tidak ada yang menyokong. Cuba bayangkan sebuah konsert yang tidak dihadiri oleh mana-mana pihak, yang ada hanya penyanyi dan beberapa orang penganjur sahaja. Sudah pasti konsert tersebut dikira sebagai gagal dan mereka akan berfikir dengan lebih mendalam untuk menganjurkannya semula.

Bertambah banyak sesuatu kejahatan atau kebaikan untuk berlaku adalah kerana kuatnya sokongan dan dorongan terhadap perkara tersebut. Ramai sokongan tidak semestinya ia baik dan sikit sokongan tidak semestinya ia buruk. Program berunsur lawak menjadi masyhur dan laris kerana ramainya penonton yang menyaksikannya biarpun ada di kalangan kita yang berpandangan bahawa lawak yang diketengahkan adalah merendahkan taraf pemikiran masyarakat ramai. Bagi mereka seorang lelaki tidak perlulah menyerupai wanita tua dan terlompat-lompat semata-mata untuk menampakkan lucu ala-ala kurang 'sifat', kerana lucu bukan semata-mata lakonan tetapi kebolehan. 

Tetapi ada juga yang berpandangan bahawa apa yang dilakonkan adalah semata-mata kerana seni dan ia perlu dihargai. Pandangan ini adalah pandangan perdana yang memberikan sokongan dan membolehkan program ini terus berlangsung daripada siri pertama kepada siri kedua dan mungkin kepada siri-siri seterusnya. Dengan sokongan sebegitu maka lahirlah program-program lain yang seakan-akan serupa dengan konsep-konsep yang berbeza. Ini semua berlaku kerana bantuan dalam bentuk sokongan dan dorongan hinggakan ada yang menubuhkan kelab-kelab penyokong dengan ribuan bahkan jutaan keahlian.

Jadi di sini, kita hendaklah menapis dengan sebaik mungkin kepada siapa sesuatu bantuan dan sokongan itu ingin diberikan. Tapisan yang meletakkan syariat sebagai yang pertama, aqal yang kedua dan keinginan sebagai yang terakhir. Syariat yang memilih hanya yang halal, aqal yang menentukan hanya yang terbaik dan keinginan yang memihak kepada yang diingini serta cocok dengan jiwa. Pastikan segala bantuan yang ingin diberikan telah melalui proses ini dengan tidak mendahului yang kemudian dan ia benar-benar diikuti.

No comments: