Thursday, January 08, 2015

Membantu Mereka Yang Inginkan Bantuan dan Bersedia Untuk Ke arah Yang Lebih Baik


Teringat dengan satu usaha CSR yang dilakukan oleh sebuah syarikat korporat kepada masyarakat asal di Negeri Pahang. Cadangan pembinaan rumah yang sempurna bagi membolehkan mereka meneruskan hidup secara lebih baik dengan dibekalkan elektrik dan air yang sempurna. Pihak syarikat percaya bahawa dengan usaha ini status kehidupan golongan asal akan dapat dinaiktaraf dan sekurang-kurangnya mereka tidak lagi tinggal di atas pokok dan juga bangsal-bangsal kayu.

Projek pertama mereka ialah dengan memfokuskan pembinaan di sebuah kampung orang asal sebagai kayu ukur tentang penerimaan mereka dengan cadangan ini. Pihak syarikat membekalkan peruntukan yang secukupnya bagi pembinaan tersebut yang terdiri daripada bahan-bahan dan juga upah. Di samping itu, pihak kelab sukan dan rekreasi syarikat yang dianggotai oleh para pekerja turut menyertai projek ini sebagai sokongan ke atas usaha syarikat.

Mereka bertungkus lumus dan bersungguh-sungguh dengan turut dibantu oleh orang-orang asal sehinggalah berdirinya rumah-rumah tersebut.  Perasaan riang dan gembira terpancar ceria di wajah-wajah mereka di atas kejayaan ini. Senyuman manis pada wajah orang-orang asal menggambarkan tentang bagaimana gembiranya mereka untuk memulakan hidup baru dengan lebih sempurna berbanding sebelum ini.

Proses penyerahan kunci dan perasmian berjalan dengan lancar serta ucapan jutaan terima kasih telah diberikan kepada syarikat di atas usaha yang dilaksanakan. Resolusi daripada projek ini adalah berjaya dan pihak syarikat bercadang untuk mengetengahkan projek ini dengan skala yang lebih besar serta melibatkan beberapa konglomerat yang lain. Bagi menjayakan projek mega ini, pihak syarikat telah mengenal pasti beberapa perkampungan orang asal yang lain di dalam Pahang serta negeri-negeri yang lain.

Persetujuan secara dasar telah dicapai di kalangan mereka yang terlibat bagi menjayakan projek ini. Komiti dan jawatankuasa telah ditubuhkan serta draf pelan perancangan telah disediakan. Tinggal lagi, mobilasi segala peruntukkan aset ke lokasi yang dirancang serta penentuan tarikh perlaksanaannya.

Sebelum projek yang kedua digerakkan, pihak syarikat merancang untuk melawat projek yang pertama bagi menilai penerimaan orang asal serta keadaan kehidupan mereka. 

“Ke mana perginya penduduk kampung ni? Kenapa rumah-rumah ini kosong? Sakitkah mereka? Atau apa yang dah terjadi kepada mereka?”. Pasukan lawatan yang diketuai oleh Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi ini menjadi sangsi dan pelik dengan keadaan perumahan yang dibina secara bersama. Suasananya sunyi dengan keadaan rumah yang kosong dan seperti tidak diduduki. Tinjaun dibuat bagi setiap rumah dan begitulah keadaannya, kosong dan sunyi. 

Tiba-tiba pasukan pelawat terdengar suatu jeritan sapaan daripada semak samun yang terletak lebih kurang 500 meter daripada perumahan tersebut. Dari situ kelihatan seorang demi seorang dan semakin lama maka semakin ramai. 

Dipendekkan cerita, penduduk-penduduk kampung asal telah membuat penempatan baru di lokasi tersebut dengan meninggalkan rumah-rumah yang lebih sempurna. Apabila ditanya kenapa? Jawabnya sungguh ringkas iaitu panas dan rimas. Bagi mereka rumah baru yang dibina tidak mempunyai pengudaraan yang sempurna seperti kediaman mereka sebelum ini. Mereka tidak selesa dengan penggunaan kipas sebagai alat untuk menyejukkan tetapi mereka lebih senang dengan tiupan angin asli.

Begitulah situasi yang berlaku apabila bantuan yang disampaikan adalah tidak sebagaimana yang diperlukan oleh sasaran. Kita sebagai pembantu sering terfikir bahawa apa yang diperlukan oleh sasaran adalah sama seperti apa yang diperlukan oleh kita. Kita andaikan bahawa apa yang mereka fikir adalah sama seperti apa yang kita fikir. Kita terlupa bahawa latar kehidupan kita dan mereka adalah berbeza sungguhpun bahasa dan bangsa adalah sama. 

Menjadi kemestian kepada kita yang ingin membantu untuk mengenalpasti jenis-jenis bantuan yang diperlukan. Ini adalah bagi mengelakkan pembaziran daripada sudut masa, harta dan tenaga. Sebaik-baik pertolongan adalah yang meringankan bebanan serta memanfaatkan orang yang ditolong. Manakala, seburuk-buruk bantuan adalah yang menambahkan kesakitan dan meningkatkan pembaziran.

Sebagai aktivis kita hendaklah cuba sedaya mungkin untuk menjiwai dan memahami perasaan dan hati sasaran berdasarkan konteks mereka. Ia tidak cukup untuk setekat meletakkan diri kita di dalam tempat mereka tetapi yang lebih penting ialah untuk memahami dan menjiwai apa yang mereka rasai. Setelah memahami perasaan dan jiwa mereka maka senang untuk kita mengetahui apakah yang diperlukan dan bagaimanakah caranya.

No comments: