"sebaik-baik pengajar ialah pengalaman dan seburuk-buruk pelajar ialah yang tidak pernah belajar daripada pengalamannya"
Andai kepala sentiasa mendongak ke atas maka sering kali di mana kaki dipijak tidak disedari. Pandang ke atas lambang kemegahan dan tinggi angan-angan. Cuba mencari apa entah tiba entah tidak. Tidak dipedulikan dengan yang bawah sehinggakan tidak terperasan kewujudan kaki yang melangkah. Tidak sedar bahawa dalam hidup yang menggerakkannya adalah sang kaki yang sentiasa berpijak pada tanah yang nyata. Dilupai sang kaki yang sentiasa mengikut dan melangkah tanpa nampak dan pandang.
Yang dikira dan dihitung hanya apa yang dijangka akan jatuh atau turun. Namun, apa yang dilangkah atau dipijak tidak dihirau dan tidak dipeduli. Terlampau sangat dibuai angan-angan hinggakan kematu si kaki tidak dipeduli dan lenguh si betis tidak dihirau.
Ada ketika dia selamat tanpa jatuh dan banyak ketika tersembam tersungkur. Kerana patuh dan setia si kaki akur dengan arahan, tidak melawan dan tidak engkar. Disuruh lari dia lari, disuruh berdiri dia berdiri. Ketika tersadung dibiar terlanggar kerana kaki tidak punya mata.
Ada yg selepas terjatuh, dia tunduk berhati-hati melangkah dan melangkah. Ada juga yg selepas terjatuh masih terdongak mencari punca jatuhnya di atas dengan andaian terjatuhnya dia kerana ditolak atau ditiup.
Selepas sakit dia belajar, selepas gagal dia belajar, selepas kalah dia belajar, selepas kecewa dia belajar. Itulah cara insan berakal kerana sebaik-baik pengajar ialah pengalaman dan seburuk-buruk pelajar ialah yang tidak pernah belajar daripada pengalamannya.
Tersepak dan tersadung adalah lumrah kehidupan sebagai insan. Insan berakal akan tunduk mencari punca tetapi insan bernafsu hanya berpusing untuk menuduh dan meluru....
hashim
24082015
No comments:
Post a Comment