Friday, December 26, 2014

Bersangka Baik Dengan Takdir Ilahi

Rukun iman yang ke enam yang wajib kita percayai sebagai seorang mukmin ialah percaya dengan qadha’ dan qadar. Ia bermaksud seorang Mukmin wajib mempercayai dengan ketentuan baik dan buruk yang telah ditentukan oleh Allah Azzawajalla. Kita juga perlu percaya bahawa segala sesuatu yang berlaku sama ada baik ataupun buruk semuanya adalah pada pengetahuan Allah Azzawajalla dan Dialah Tuhan yang menentukan segala sesuatu. 

Namun ia bukanlah lesen untuk meletakkan kesalahan dan kealpaan kita sebagai apa yang telah termaktub di dalam suratan qadha’ dan qadar. “Mat, kau tahukan apa yang kau buat ni salah dan berdosa, kau masih ingatkan apa yang guru kita ajari sebelum ni. Berdosa mat kalau kau tambah air kat dalam susu getah ni untuk jadikan timbangannya berat.” Pesan si Abu kepada kawannya yang terserempak dengan teknik kotor bagi mendapatkan timbangan yang lebih berat. “Tak apa bu, sebab apa yang aku buat ini adalah apa yang telah tercatat kat dalam qadha’ dan qadar. Ia bukan kesalahan aku.” Jawab si Mat dengan lagaknya pintar memainkan hujahan agama. “Mat, Kau jangan salahkan Tuhan andai kau berada di neraka besok sebab itupun adalah qadha’ dan qadar.” Tungkas si Abu dengan lebih pintar, 

Mat terdiam kerana baru dia sedar bahawa apa yang berlaku di dunia ini adalah kayu ukur destinasi penempatan di akhirat kelak. Baik di dunia akan diberi ganjaran yang setimpal di akhirat kelak dan buruk di dunia maka azablah yang menantinya di sana.

Kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh kita di atas muka bumi ini tidak boleh diletakkan puncanya kepada qadha’ dan qadar. Sesungguhnya kita telah dianugerahkan oleh Allah Azzawajalla aqal dan ilmu untuk menilai. Kehidupan kita di dunia ini tidak dibiarkan tanpa pedoman dan panduan yang menyebabkan perjalanan hidup ini menjadi lebih tersusun. Allah Azzawajalla telah memberikan kelebihan kepada manusia dengan ilmu berbanding dengan malaikat dan lantas memilih kita untuk diberi tanggungjawab sebagai pentadbir di muka bumi ini. Pemilihan yang dibuat oleh Allah kerana amanah ilmu yang telah dianugerahkan. 

Redha dengan qadha’ dan qadar Ilahi menjadikan kita sebagai insan yang positif yang mampu untuk menempuh apa sahaja cabaran di dalam kehidupan ini. Ia juga mengajar kita tentang batasan kelemahan sebagai insan tentang apa yang boleh diubah dan apa yang tidak mampu disanggah. Ilmu ini menjadikan kita redha dengan keterbatasan dan akur dengan kelemahan. Ia bukan melemahkan kita tetapi akan menjadikan lebih kuat dan bersedia. Kuat agar cepat bangun sekiranya kita terjatuh dan bersedia untuk bertahan sekiranya kita dibadai ombak. 

Sesungguhnya benar bahawa kehidupan ini adalah tidak sunyi daripada ujian yang kadang-kadang membuatkan kita terfikir bahawa inilah penghujung kepada segala-galanya. Tamatlah segala peluang dan gelaplah masa hadapan. Kita mungkin terfikir bahawa andai kehidupan ini diteruskan maka kehidupan yang akan mendatang adalah hanya kesusahan dan kerumitan. 

Kerana itu maka ada yang mengambil keputusan untuk membunuh diri dengan anggapan bahawa dia telah berjaya melepaskan dirinya daripada segala kesakitan yang bakal menimpa di masa hadapan. Sedangkan sebagai Muslim, horizon kehidupan kita adalah tidak terhad kepada tamatnya hayat seseorang tetapi ia melangkaui kehidupan di dunia ini di dalam menuju hari-hari akhirat. Andai kesusahan di dunia ini bersifat terus menerus tanpa henti sehingga mati dan kita pemilik kesusahan bersabar dan bertahan sehingga ke penghujungnya, maka ketahuilah bahawa Allah menjanjikan kebaikan yang banyak di akhirat kelak sebagai balasan di atas kesabaran tersebut. 

Seorang Mukmin sejati percaya bahawa ujian yang ditimpa adalah semata-mata bagi memberi peluang kepadanya untuk dihapuskan dosa dan dinaikkan darjat di sisi Allah Azzawajalla. Ia tidak diberikan secara percuma tanpa diberikan sebarang ganjaran di atas sesuatu kesusahan. Namun andai kesusahan tersebut tidak ditempuhi secara sabar maka ia akan membawa kepada kekufuran dan dosa. 

No comments: